MENGUMPAT
ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada
orang lain. Perbuatan itu mungkin menyebabkan kesusahan, kerugian, perasaan
malu dan mendapat nama buruk akibat cerita itu.
Rasulullah saw menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabda bermaksud:
"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan
sesuatu perkara yang dibencinya." (Hadis riwayat Muslim)
Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila
menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya
tetapi diketahui ia difahami oleh orang mendengarnya.
Mengumpat banyak mendatangkan keburukan. Oleh itu, Islam melarang umatnya
mengumpat.
Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan
daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia,
inikan pula daging saudara sendiri.
Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah
daripada kamu. Adakah seorang daripada kamu suka makan daging bangkai
saudaranya, tentunya kamu semua membenci memakannya ..." (Surah
al-Hujurat, ayat 12).
Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan
diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.
Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang diumpatkan. Selagi orang yang
diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima
pembalasannya pada akhirat.
Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana
mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina
apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang
melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang
diumpat." (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).
Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi
sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.
Tidak ramai melakukan zina kerana dosanya amat besar tetapi ramai tidak sedar
setiap hari melakukan dosa lebih besar daripada zina.
Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya
diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain.
Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.
Sabda Rasulullah bermaksud: "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi
belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan
janganlah kamu mengintip-intip keaibannya.
Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan
mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam
rumahnya sendiri." (Hadis riwayat Abu Daud).
Maksud hadis itu dengan jelas membuktikan orang mengumpat dikategorikan sebagai
belum beriman dengan hatinya biarpun lidahnya mengaku beriman.
Orang mengumpat bakal dimalukan biarpun dia berada di rumahnya sendiri.
Kesan buruk mengumpat boleh menyebabkan perbalahan dan perasaan tidak senang
dalam masyarakat.
Perasaan iri hati, marah, benci dan dendam mudah merebak daripada perbuatan
mengumpat. Ia mungkin boleh merebak sehingga mencetuskan huru- hara dan
pembunuhan.
Mengumpat juga boleh berlaku ketika bergurau dan melawak apabila menggunakan
perkataan atau perbuatan melambangkan keburukan seseorang.
Rasulullah saw pernah menegur Siti Aishah kerana berkata 'alangkah pendeknya
perempuan itu' kepada seorang perempuan tua yang datang berjumpa dengan
Rasulullah saw.
Kata-kata itu turut dianggap mengumpat kerana menyebut kelemahan sifat orang
lain dengan memperkecil-kecilkannya.
Ini bermakna kita tidak boleh memanggil seseorang dengan panggilan
menunjukkan kekurangan fizikal seperti botak atau buncit.
Tetapi masyarakat kita sering menggunakan lambang fizikal seseorang sebagai
panggilan untuk melawak. Ada juga menyebut perkataan itu dengan tujuan panggilan
'mesra'.
Kita boleh memanggil seseorang dengan gelaran itu jika orang itu bersetuju atau
tidak marah.
Orang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada akhirat.
Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.
Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti
api memakan ranting kayu kering." Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan
musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak
tinggal apa-apa lagi.
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar
apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukan olehnya di
dunia.
Maka, dia berkata kepada Allah: "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya
kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya." Maka
Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau
tanpa engkau ketahui."
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan
kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada
orang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.
Walaupun perbuatan menceritakan keburukan seseorang kepada orang lain amat
dilarang dan berdosa besar, ada masanya kita diharuskan berbuat demikian.
Perbuatan itu hendaklah bertujuan kebaikan dan bukan saja-saja suka
menceritakan keburukan orang.
Antara contoh keadaan yang dibenarkan ialah menceritakan sifat seseorang yang
suka menipu. Kita menceritakan sifatnya itu bertujuan supaya orang lain
berhati-hati dan tidak akan mudah ditipu olehnya.
Tetapi janganlah ditambah cerita mengenai sifat lain pula. Contohnya, selain
cerita sikapnya suka menipu, diceritakan juga sifatnya suka minum arak. Ini
kerana di antara kedua-dua sifat itu tidak mempunyai hubungan dan bukan untuk
tujuan asal agar tidak tertipu.
Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha
mengelakkan diri daripada melakukannya.
Jauhkan diri daripada berada dalam suasana yang boleh menyebabkan berlakunya
mengumpat.
Oleh itu, perbanyakkan zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada
mengumpat "

Tiada ulasan:
Catat Ulasan