|
H
|
iburan sejati
ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat
bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman.
Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang maksudnya :
“Orang-orang yang beriman dan
tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir
kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.
(Surah
Al-Ra‘ad: 28)
Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung
dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara
yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya,
berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada
Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan
perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak
ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka
rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.
Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh
Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah
resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi
kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah
Subhanahu wa Ta‘ala yang maksudnya :
“(Katakanlah wahai orang-orang yang
beriman: “Agama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah
(yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang
lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan
kepadaNyalah kami beribadat”
(Surah
Al-Baqarah: 138)
Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah
Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai,
bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir
tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan
kebesaran penciptaNya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang
bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum
dan undang-undang Allah Ta‘ala. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang maksudnya
:
“Sesungguhnya pertukaran malam dan
siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan
di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada
kaum yang mahu bertaqwa”
(Surah
Yunus: 6)
Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam yang maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu indah. Dia
suka keindahan”.
(Hadis
riwayat Muslim )
Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh
menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi
syariat. Alunan ayat suci Al-Qur‘an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang
menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan
kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman Allah Subhanahu
wa Ta‘ala yang maksudnya:
“Allah telah menurunkan sebaik-baik
perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi kandungannya antara
satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang
(keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau
membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi
seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati
mereka menerima ajaran dan rahmat Allah”.
(Surah
Al-Zumar: 23)
FirmanNya lagi yang maksudnya :
“Sesungguhnya orang-orang yang
beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama
Allah (dan sifat-sifatNya) gementerlah hati mereka; dan apabila dibacakan
kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan
mereka jualah mereka berserah”
(Surah
Al-Anfaal: 2)
Dan firmanNya lagi yang maksudnya :
“Iaitu orang-orang yang apabila
disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar
terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan
sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami
berikan kepadanya”
(Surah
Al-Hajj: 35)
Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi
ketenangan jiwa, lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu
kewajipan orang Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati
orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka
terasa sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih
hatinya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur,
Baginda bersabda yang maksudnya :
"Di antara kesenangan dunia
yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah
sembahyang”
(Hadis
riwayat Al-Nasa‘ei)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan